PENGENALAN

Unit Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC) ditubuhkan pada Julai 2010 sebagai inisiatif untuk memperkukuh hubungan strategik antara Politeknik dan pihak industri. Unit ini berperanan sebagai pusat sehenti (One-Stop Centre) bagi memenuhi keperluan industri yang berminat menjalin kerjasama dengan Politeknik, terutamanya dalam aktiviti kolaborasi Bersama industri serta penyediaan fasiliti dan perkhidmatan kepakaran.

CISEC merupakan unit di bawah sokongan akademik yang berfungsi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA). Tumpuan utama diberikan kepada pelajar semester lima (5), di mana mereka didedahkan dengan pelbagai kursus nilai tambah yang dapat memperkasa kemahiran serta meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. Antaranya menyediakan program-program Dwi-Pensijilan sebagai nilai tambah kepada mereka dalam mengharungi dunia pekerjaan nanti.

Selain itu, CISEC juga memainkan peranan penting dalam memudahkan jalinan kerjasama dan kolaborasi antara PSMZA dan industri. Unit ini turut menyediakan perkhidmatan serta maklum balas berkenaan keperluan industri, terutamanya dalam aspek penempatan kerja graduan dan program kerjasama strategik. Melalui usaha ini, CISEC bertekad untuk menyokong peningkatan kebolehpasaran graduan dan memastikan PSMZA kekal relevan dalam memenuhi kehendak industri semasa.